Skip to main content
MAJLIS KONVOKESYEN PROGRAM EKSEKUTIF UTHM

Bapa Dan Anak Teruja Kongsi Pentas Sama

BATU PAHAT - Berkongsi pentas yang sama di Majlis Konvokesyen Program Eksekutif, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi kenangan terindah buat bapa dan anak selepas kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian Diploma Eksekutif Imam ProfesionalTM. Sulaiman Naim, 68 (kiri) bersama anak Erwan Sulaiman, 44 (kanan) graduan Diploma Eksekutif Imam ProfesionalTM teruja berkongsi kecemerlangan apabila dapat bergraduasi bersama-sama di Majlis Konvokesyen Program Eksekutif yang telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Disember 2022 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim (DSI) UTHM.

Terpancar kegembiraan seorang bapa apabila anaknya yang juga merupakan profesor di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM turut bergraduasi di pentas yang sama. Walau pun berbeza usia dan mempunyai kesibukan kerja masing-masing namun itu tidak menghalang kedua-duanya untuk terus menimba ilmu malah menjadi pembakar semangat menamatkan pengajian bersama-sama.

Secara umumnya, Program Diploma Eksekutif Imam ProfesionalTM ini dirangka khas bagi meningkatkan profesionalisme pelapis imam dan juga sebagai kelayakan ikhtisas seorang imam profesional. Program ini diselaraskan oleh Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL (PPBA) UTHM dan dilaksanakan oleh Institut Ahli Sunnah wal Jamaah (IASWJ) UTHM bersama Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk melahirkan insan berilmu dan bertaqwa berteraskan konsep pengabdian yang mutlak kepada Allah SWT dan juga sebagai imam yang unggul dalam membimbing masyarakat kepada penghayatan beragama demi mencapai kejayaan.

Seramai 66 orang graduan Diploma Eksekutif Imam ProfesionalTM dari tiga (3) kohort ambilan turut diraikan di majlis konvokesyen tersebut dan penganugerahan diploma eksekutif telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Azme bin Khamis; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Di majlis tersebut, TNCAA UTHM turut menyampaikan anugerah khas YB. Dato’ Haji Md. Rofiki kepada 3 graduan yang cemerlang bagi mewakili setiap kohort. Semoga kisah kegigihan bapa dan anak ini menjadi sumber inspirasi kepada anak muda untuk menceburi bidang ini sekaligus menjadi pelapis imam profesional di masa akan datang.