Kadar pengguna:  / 0
PoorBest 

cietvet2013

CIE-TVET 2013 - Platfom pembudayaan penyelidikan

2-3 September 2013, Kuala Terengganu- Budaya penyelidikan merupakan antara aspek penting dalam sistem pendidikan di Malaysia dan diberi keutamaan dewasa ini hasil daripada kesedaran yang bidang penyelidikan dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang wujud dalam masyarakat. Di atas kesedaran pentingnya untuk menyemai budaya penyelidikan di kalangan warga pendidik terutamanya di Politeknik dan Kolej Komuniti mendorong Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) UTHM, Pusat Pendidikan Teknik Dan Vokasional Termaju (ACTiVE) UTHM, Politeknik Kuala Terengganu dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu sekali lagi telah menganjurkan Persidangan Pendidikan (Penyelidikan dan Inovasi) Dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional 2013 (CiE-TVET 2013). Ini merupakan program yang kali ketiga berturut-turut diadakan selepas di Nilai (2012) dan Pulau Pinang (2011) hasil daripada sambutan hangat yang diterima daripada warga pendidik di Malaysia.

Bertemakan ‘Pemerkasaan Penyelidikan & Inovasi Ke Arah Transformasi TVET’ merupakan tema pilihan CiE-TVET 2013 yang seiring dengan transformasi Pendidikan Teknik & Vokasional (PTV) di Malaysia. Seramai 183 orang warga pendidik terdiri daripada 128 orang pembentang kertas kerja dan 55 orang peserta telah terlibat dalam program selama 2 hari ini di mana peserta didedahkan dengan penyelidikan dan kertas kerja yang berimpak tinggi melibatkan skop seperti Kecemerlangan Instruksional, Pengurusan, Pembangunan Kurikulum, Pembangunan & Latihan Staf, Inovasi & Teknologi Dalam P&P, Jaminan Kualiti, Kebolehpasaran, Keusahawanan, Kolaborasi Industri, Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kajian Tindakan, Tanggungjawab Sosial (CSR), Penghasilan Produk dan Pendidikan Teknik & Vokasional (PTV). Buat julung kalinya juga, CiE-TVET 2013 ini menerima penyertaan seramai 8 orang peserta antarabangsa dari Regional Cooperation Programme (RCP) yang dibawakan khas oleh ACTIVE UTHM. Dua orang penyampai ucaptama CiE-TVET 2013 ini adalah terdiri daripada Dr. Thomas Schroeder, Project Director of the Regional Cooperation Programme melibatkan tajuk ‘Strengthening Research For A Sustainable Development of TVET-System’ dan Y. Bhg. Datuk Hj. Mohlis Bin Jaafar dengan tajuk pembentangan beliau adalah ‘Polytechnic Transformation’.

CiE-TVET 2013 ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTHM, Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin yang dalam ucapannya telah menekankan mengenai kepentingan pembudayaan penyelidikan dan inovasi. Menurut beliau lagi, penyelidik perlu memberikan ruang penyelidikan yang bersifat asas dan boleh dikomersialkan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat seperti penyelidikan alat yang dapat membantu pemilik ladang sawit menentukan buah yang telah masak dan boleh dituai. Penuaian buah yang belum masak akan mendatangkan kerugian kepada pemilik ladang sawit kerana ia akan dibuang sahaja apabila sampai ke kilang pemprosesan. Perasmi juga dalam ucapannya juga mencadangkan agar pihak penganjur turut mengadakan pertandingan melibatkan penyertaan daripada pihak industri agar input yang penting hasil penyelidikan Universiti, Politeknik dan Kolej Komuniti dapat dikomersialkan dengan segera melalui kerjasama pintar.

Program CiE-TVET 2013 ini seterusnya melabuhkan tirai secara rasmi yang disempurnakan oleh Dr. Abdul Rahim Bin Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Politeknik, Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan Malaysia yang juga bertindak selaku Penasihat Program CiE-TVET 2013. Dalam ucapannya, Dr. Abdul Rahim merakamkan penghargaan kepada semua warga pendidik yang telah melibatkan diri memberikan sokongan kepada penganjuran CiE-TVET 2013 samada sebagai pembentang kertas penyelidikan mahupun sebagai peserta. Beliau mengharapkan hasil daripada penyertaan dalam CiE-TVET 2013 ini akan dapat merangsang lebih banyak warga penyelidik untuk lebih bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan seterusnya bersama-sama dapat membantu membangunkan negara melalui penghasilan produk yang dapat dikormesialkan. Beliau juga dengan secara rasminya telah mengumumkan Politeknik Mersing akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran CiE-TVET 2014.

Disediakan oleh
Muhammad Radzi Bin Kamarudin
Penyelaras Bersama CiE-TVET 2013
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia